Tak boleh makan, minum dalam stadium, MKN tolak permohonan MFL

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kebenaran makan dan minum di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi akhir Piala Malaysia, Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, selain makan minum, MKN juga turut tidak membenarkan kapasiti tambahan, menyaksikan kebenaran penonton ke arena pada Selasa depan kekal sebanyak 20,000 orang.

Jelasnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada MFL oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada hari ini.

“Melalui surat yang diterima oleh pihak MFL, KBS telah membentangkan permohonan tersebut bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021.

“Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Utusan.

Katanya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah standard operasi prosedur (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 laitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).

“Ketetapan ini adalah dengan mengambil kira penilaian risiko semasa, dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Susulan daripada keputusan MKN ini, Stuart berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kendera saji di perkarangan arena untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk.

“MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam arena.

“Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar arena sebelum penonton masuk ke dalam arena.

“MFL bersama PSM merancang untuk menyediakan tapak kepada penjaja food truck di luar arena untuk membolehkan penonton dapat makan dan minum dahulu sebelum menyaksikan perlawanan akhir itu nanti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *